1. Kita hairan
bagaimana ada orang Islam yang begitu sekali menyanjung tinggi pemimpin mereka
sehingga sanggup minum air basuh kaki mereka ini. Tetapi inilah yang berlaku
apabila terlalu taksub kepada pemimpin.
2. Saya
diberitahu tidak ada kemungkinan Barisan Nasional menang di Kelantan kerana
penduduk Kelantan begitu taksub dengan Nik Aziz. Demikianlah ketaksuban ini
sehingga apa sahaja yang didakwa olehnya berkenaan agama Islam maka orang
Kelantan akan menerimanya bulat-bulat sebagai benar dan menepati ajaran Islam.
3. Kata orang
ini, tidak ada gunanya ulama lain atau Mufti menolak dan menidakkan dakwaan Nik
Aziz, orang Kelantan tetap akan percaya pendapatnya juga. Jika ada yang ragu
sekalipun, mereka tidak akan menyatakan keraguan mereka.
4. Orang Islam
yang berfikiran waras tentu menolak dakwaan Nik Aziz bahawa mengundi PAS akan
mendapat pahala, bahkan menjamin syurga di akhirat. Tetapi nampaknya majoriti
rakyat Kelantan, samada mereka terima dakwaan ini atau tidak, terus setia dan
menyokong kepimpinan Nik Aziz. Kemenangan PAS di Kelantan dan di lain-lain
tempat membuktikan kepimpinan Nik Aziz tidak terjejas walaupun jelas menyalah
guna agama untuk politik duniawi.
5. Demikian
jugalah dengan lain-lain kenyataan dan sikap yang lari jauh dari ajaran Islam
saperti menidakkan keIslaman orang yang tidak menyertai atau menyokong PAS.
6. Dahulu
kerjasama antara UMNO dengan orang bukan Islam didakwa bertentangan dengan
ajaran Islam. Sekarang PAS di bawah kepimpinan Nik Aziz bukan setakat
bekerjasama dengan orang bukan Islam tetapi juga sanggup bekerjasama dengan
orang yang menolak dengan keras dan secara terbuka hasrat PAS untuk mendirikan
Negara Islam dan melaksana hukum hudud.
7. Saya masih
ingat semasa kita bangunkan Putrajaya, Nik Aziz mendakwa apabila PAS memerintah
Negara ini, Kerajaan PAS akan lelong Putrajaya. Hari ini lain pula bunyinya.
PAS berjuang untuk ke Putrajaya sebagai pemerintah.
8. Dalam
masyarakat Islam penyelewengan kerap berlaku kerana ajaran sesat yang
disampaikan oleh ulama yang tidak bertanggungjawab. Adanya Qadiani dan
puak-puak tertentu yang lain ialah kerana taksub kepada pemimpin agama. Kita
lihat bagaimana kuatnya pegangan pengikut Ashaari dan Ayah Pin kepada ajaran
mereka.
9. Di India,
British menggalakan penubuhan dan perkembangan Qadiani kerana ia akan
memecah-belah orang Islam dan melemah mereka. Kita syak yang pendaftaran dengan
pantasnya Parti Islam Se Malaya oleh British juga mempunyai niat yang sama. Ia
berlaku diwaktu orang Melayu buat kali pertama bersatu untuk menentang British.
Bahawa PAS, dalam Pilihanraya 1955 menentang kemerdekaan Malaya memanglah
menepati hasrat British. Tetapi perjuangan PAS untuk melambatkan kemerdekaan
gagal.
10. Dalam Pilihanraya
1955 PMIP hanya menang satu kerusi. Selepas itu PMIP bersungguh-sungguh
mengguna agama sehingga dalam Pilihanraya Umum 1959 Kelantan dan Terengganu
jatuh ke tangannya. Walaupun Kerajaan PAS Terengganu runtuh dan diganti dengan
Perikatan tetapi ini tidak kurangkan ketaksuban kepada PAS.
11. Berpecah dan
lemahnya umat Islam ialah kerana taksub kepada kepimpinan lebih dari ajaran
Islam seperti yang terdapat dalam Al Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan