1. Gelaran, seperti label untuk barangan berjenama, sukar
untuk dikikis. Berasas atau tidak, gelaran kekal sepanjang hayat. Oleh itu
gelaran amat berguna dalam politik, terutama gelaran yang memburuk musuh.
Buatlah apa pun, musuh pihak yang bergelar tidak akan hentikan mengguna
gelaran.
2. Sebagai Perdana Menteri dahulu saya diberi banyak
gelaran. Mahazalim, Firaun, diktator adalah antara gelaran yang dicipta oleh
musuh politik saya.
3. Apabila saya ditemuramah sekarang, walaupun oleh orang
yang tidak bermusuh dengan saya, soalan-soalan mereka ternampak yang mereka
agak percaya bahawa gelaran terutama gelaran diktator yang diberi kepada saya
adalah tepat dan berasas kepada kepercayaan bahawa saya adalah seorang
diktator.
4. Apakah yang saya lakukan yang menyamakan sifat dan
perbuatan seorang diktator.
5. Sekarang kita sedang melihat kejatuhan beberapa ketua
negara yang dicap sebagai diktator. Hosni Mubarak umpamanya dituduh membunuh
beribu ahli Muslim brotherhood. Dia juga dikatakan telah mengumpul harta kekayaan
bernilai 70 billion dolar Amerika.
6. Semasa saya berada di Kaherah di zaman Mubarak untuk
bermesyuarat, apabila Presiden Mubarak bermotor dari istananya ke tempat
persidangan, jalan yang dilalui olehnya dikosongkan dan askar bersenjata
lengkap berderet sepanjang jalan. Di atas bumbung bangunan terdapat askar
‘sharp-shooter’ yang bersenjata untuk menembak sesiapa yang disyaki cuba
menyerang rombongan Presiden.
7. Istana Presiden dikelilingi tembok tinggi dan askar
bersenjata berada di sekililing sepanjang masa.
8. Musuh Mubarak tidak dibenar berpolitik, sering ditangkap,
dikurung tanpa dibicara dan dihilangkan.
9. Selama 30 tahun Mubarak menjadi Presiden, pemilihan bagi
jawatan ini tidak pernah ditandingi oleh orang lain. 99% daripada undi didapati
oleh Mubarak.
10. Tidak ada kebebasan bersuara atau akhbar bebas. Tidak
ada pilihanraya untuk ahli dewan. Siapa sahaja boleh dilantik oleh Mubarak
untuk menjadi menteri. Mereka juga boleh dibuang bila-bila sahaja.
11. Ada lagi diktator yang dikenali umum. Hitler mendirikan
pemerintahan kuku besi Nazi di Jerman. Enam juta Yahudi dibunuh dalam kamar
gas. Yang tidak dibunuh, disiksa sehingga ramai yang mati.
12. Benito Mussolini, Ferdinand Marcos, Presiden Rumania
Nicolae Ceauşescu yang dibunuh, dan ramai lagi yang dicap sebagai diktator.
Demikian juga Gadaffi dan Saddam Hussein.
13. Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang
apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi Perdana Menteri Malaysia
yang menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan